Merdekakah kita??
KUALA LUMPUR 31 Ogos — Kira-kira 200 orang termasuk 60 remaja wanita ditahan di sekitar Lembah Klang kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral dalam “Ops Masih Ada yang Sayang” yang dijalankan sempena ambang kemerdekaan negara ke-52, awal pagi ini.
Operasi selama lima jam bermula kira-kira 1 pagi itu melibatkan beberapa agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang diketuai Pertubuhan Kebajikan Darul Islah (Perkid) Selangor dan turut disertai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan pegawai-pegawai Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang.
Pengerusi Perkid Selangor Masridzi Sat berkata kesemua mereka dalam lingkungan usia 20-an itu ditahan kerana melakukan gejala sosial tidak bermoral seperti berpeleseran bersama pasangan masing-masing dan melepak di tempat awam.
“Kita amat prihatin masalah sosial di kalangan masyarakat yang semakin meningkat, sebab itu operasi ini diadakan agar mereka disedarkan ke jalan hidup berlandaskan agama Islam terutama cara menyambut sesuatu perayaan (kemerdekaan negara) bukan untuk keseronokan semata-mata dan tanpa matlamat hidup,” katanya kepada Bernama di Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang di sini, hari ini.
Beliau berkata kesemua yang ditahan dibawa ke Masjid Al-Azim, Pandan Indah, Ampang untuk diberi kaunseling dan ceramah agama berkenaan pegangan agama yang betul seperti cara meraikan kemerdekaan negara mengikut acuan agama Islam.
Masridzi berkata kesemua mereka dibenarkan pulang ke rumah masing-masing apabila sesi kaunseling berakhir selepas solat Subuh.
Operasi yang membabitkan 90 anggota itu dijalankan di beberapa lokasi secara serentak termasuk di Bukit Langat, Taman Bukit Permai dan Taman Tasik Pandan bertujuan mencegah kegiatan maksiat dan gejala sosial.
— BERNAMA
0 comments:
Post a Comment