Tuesday, September 1, 2009

Speaker DUN Kedah akan ambil tindakan lanjut


ALOR SETAR: Kerajaan Kedah bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang bagi mengisytiharkan kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Siputeh selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memutuskan tidak berlaku kekosongan pada kerusi DUN itu hari ini.
Menteri Besar Datuk Seri Azizan Abdul Razak berkata kerajaan negeri menyerahkan kepada Penasihat Undang-undang dan Speaker Dewan Undangan Negeri untuk mengkaji peruntukan undang-undang dan mengambil tindakan lanjut. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, dalam satu kenyataan, berkata SPR memutuskan tidak berlaku kekosongan pada kerusi Kota Siputeh dan ia masih disandang wakil rakyat Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Hassan Sarif.

Azizan berkata, kerajaan negeri akan mengikut saluran undang-undang termasuk jika terpaksa membawa pengisytiharan kekosongan kerusi DUN itu ke mahkamah. "Kita mahu kepastian sama ada SPR (buat keputusan) betul atau tidak dan biarlah Speaker yang buat kerja kerana yang menghantar surat kepada SPR juga adalah Speaker," katanya. Baru-baru ini, Speaker DUN Kedah, Dr Abdul Isa Ismail, mengisytiharkan DUN Kota Siputeh sebagai kosong berikutan ketidakhadiran Abu Hassan pada dua persidangan secara berturut-turut tanpa sebab.

Katanya, arahan untuk mengosongkan DUN itu adalah berlandaskan Undang-undang Tubuh Negeri Kedah dan beliau menghantar notis mengenai kekosongan itu kepada SPR minggu lalu. Abu Hassan, bagaimanapun, mendakwa beliau tidak dapat hadir persidangan DUN Kedah kerana masalah kesihatan dan lewat menyerahkan sijil cuti sakit kepada Speaker DUN atas masalah teknikal. - Bernama

0 comments:

Post a Comment