Saturday, June 13, 2009

2 Datuk UMNO Rasuah, SPRM Akan Putuskan Dakwaan


RASUAH KUANTAN 13 Jun — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berkata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan memutuskan, dalam tempoh terdekat, sama ada untuk mendakwa dua “Datuk” yang dibabitkan dengan kes rasuah berhubung pembinaan projek Lebuh raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2).

Beliau berkata ketika ini pihak SPRM telah pun selesai melakukan siasatan berhubung kes itu. “Siasatan telah habis dan SPRM sudah mengumpul bukti dan kemungkinan untuk mendakwa terhadap tertuduh ini, keputusan itu akan dibuat secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Hari Bersama Pelanggan Jabatan Perdana Menteri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas desakan Setiausaha Agung Umno Tengku Adnan Tengku Mansor semalam yang mahu SPRM mengambil tindakan segera ke atas dua anggota Umno yang bergelar Datuk yang disyaki terbabit dalam kes rasuah berhubung pembinaan MRR2. Nazri berkata SPRM akan melakukan siasatan secara bebas dan adil tanpa mengira kedudukan pihak yang disabitkan rasuah itu.

“SPRM akan bertindak adil dan bebas tanpa mengira orang yang disiasat atau didakwa itu datang dari parti tertentu, kita tak kira, kalau cukup bukti daripada siasatan dan ada keperluan untuk mendakwa, maka SPRM akan memutuskannya (untuk didakwa),” katanya. Beliau berkata pihak kerajaan atau Umno juga tidak akan campur tangan dalam siasatan terhadap pemimpin Umno atau ahlinya yang terbabit rasuah. (BERNAMA)

0 comments:

Post a Comment