Saturday, June 13, 2009

Kami Kecewa Dengan Tindakan Mereka


KUALA TERENGGANU 13 Jun — Kira-kira 70 kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran yang bekerja sebagai buruh dalam pelbagai jabatan di Terengganu, berkumpul di Dewan Belia dan Sukan Jalan Pasir Panjang hari ini bagi melahirkan kekecewaan mereka kerana akan diberhentikan kerja mulai 1 Julai ini.

Mereka adalah sebahagian daripada 120 kakitangan kontrak yang terbabit dalam langkah pemberhentian kerja itu. Salah seorang daripada mereka, Alias Awang, 47, dari Kampung Banggol Tuan Muda, Manir, berkata beliau bekerja lebih 12 tahun sebagai tukang kebun di Sekolah Kebangsaan Kampung Gemuruh.

“Jadi, kalau saya diberhentikan kerja ke mana pula saya hendak cari kerja, sedangkan umur saya telah lanjut dan anak-anak masih ada yang bersekolah,” katanya. Zainal Shahruddin, 50, buruh di Sekolah Kompleks Gong Badak pula mengharapkan pihak berkenaan mengambil semula beliau dan rakan-rakan yang senasib dengannya untuk bekerja memandangkan ada di antara mereka yang sudah bekerja lebih 20 tahun.

Beliau berkata yang lebih menyedihkan lagi ramai di kalangan kakitangan kontrak JPM ini mempunyai banyak tanggungan seperti anak masih bersekolah dan pinjaman bank. Ramlah Kassim, 45, yang bekerja sebagai buruh di Sekolah Rendah Wakaf Mempelam sejak 13 tahun lepas, berharap kakitangan kontrak Jabatan Pelajaran ini akan diambil bekerja oleh kerajaan negeri sesuai dengan kelayakan kelulusan kakitangan berkenaan. BERNAMA

0 comments:

Post a Comment