Tuesday, July 21, 2009

Mangsa Keganasan Polis Buat Aduan Suhakam


suhakam-logo Adun Rawang Gan Pei Nei dan tiga pembantu khas kepada wakil rakyat Pakatan Rakyat yang dikasari polis dalam perhimpunan aman Jumaat lalu memfailkan aduan ke Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Mereka turut menyerahkan memorandum mengutuk keganasan polis dalam meleraikan perhimpunan tersebut yang menuntut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bertanggungjawab keatas kematian Teoh Beng Hock.

Dalam pertembungan antara aparatus kerajaan dan orang awam Jumaat lalu, Gan Pei Nei cedera di kepala manakala pembantu kepada Adun Bukit Lanjan, Loo Chuan Boon, yang diseret sejauh 30 meter oleh polis. Manakala pembantu kepada Adun Klang, Sarah Vanitha Devaraj dan Ng Yap Hwa turut dikasari polis.Turut ditahan adalah Ahli Parlimen Kapar S Manikavasagam dan Exco Selangor Xavier Jeyakumar.

Memorandum kepada Suhakam itu menuntut supaya satu inkuiri dijalankan keatas insiden keganasan polis serta pencabulan pihak berkuasa keatas Fasal 10 Perlembagaan yang membenarkan perhimpunan secara aman.

Menerima memorandum tersebut bagi pihak Suhakam adalah Persuruhjaya Siva Subramaniam.

Dalam aduan kepada Suhakam, memorandum berkata arahan meleraikan perhimpunan adalah dari Ketua Polis Selangor, Khalid Abu Bakar.

"Ketua Polis Selangor Khalid Abu Bakar memberi arahan supaya perhimpunan dileraikan. Kira-kira 20 anggota polis berpakaian biasa, berseragam dan unti anti-rusuhan menyerbu kearah orang awam dan menahan beberapa orang termasuk wakil rakyat dan pembantu-pembantu mereka," menurut memorandum.

"Gan ditarik keluar secara kasar oleh lelaki-lelaki yang tidak berseragam. Ketika orang-ramai cuba menyelamatkan beliau, polis berpakaian preman tekan Gan ke  lantai lalu kepala Gan terhantuk. Polis lelaki menggunakan kekasaran melampau terhadap seorang perempuan, yang juga satu kesalahan seksual terhadap seorang Ahli Dewan Undangan Negeri," tambah memorandum itu lagi.

Rakaman kejadian dan gambar kekasaran polis ditunjukkan kepada Siva Subramaniam sebagai bukti keganasan hari itu. Pengadu juga menuntut Suhakam supaya memantau mana-mana perhimpunan aman dan menjadi perantara antara orang awam dan polis sekiranya kerajaan terus mencabul hak untuk berhimpun secara aman.

"Loo dipukul berulang-kali oleh polis lalu terjatuh ke lantai. Seorang anggota memijak pergelangan tangan, dikasari dan digaru. Loo diheret sejauh 30 meter sehingga beliau jatuh pengsan," menurut memorandum itu.

Siva Subramaniam mendengar dengan teliti butiran kejadian dari pengadu sepanjang sesi aduan. Sebelum sesi berakhir, Siva memberi jaminan pihaknya akan menyoal pihak polis berkenaan kekasaran ini.

"Suhakam memandang serius kejadian ini, dan kita berulang-kali menegaskan bahawa hak untuk berhimpun secara aman harus dihormati dan semua undang-undang yang menyekat kebebasan bersuara dan kebebasan untuk berhimpun harus dimansuhkan segera," tegas Siva menjawab aduan mereka.

"Kami akan meminta butiran lanjut dari pihak berkuasa. Saya memberi jaminan bahawa hak warganegara yang termaktub dibawah Perlembagaan Persekutuan akan dikuatkuasakan," tegas Siva.

Salinan memorandum dihantarkan juga kepada Jawantakuasa Penyelaras Antarabangsa Keatas Institusi Hak Asasi Manusia Kebangsaan (ICC), Amnesty International Malaysia (AI Malaysia) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram).

0 comments:

Post a Comment