Wednesday, June 17, 2009

PAS Tiada Rundingan Dengan Umno Tanpa PKR, DAP


PAS tidak akan menyertai sebarang rundingan mengenai kerajaan perpaduan dengan UMNO, jika Parti Keadilan Rakyat dan DAP tidak dijemput bersama, kata Setiausaha Agung PAS Mustafa Ali. “Presiden UMNO Najib Razak bercakap tentang (kerajaan perpaduan), maka tidak boleh bercakap dengan PAS (sahaja), tetapi mesti bersedia untuk bercakap dengan PKR dan DAP. Jika beliau tidak bersedia, PAS pun tidak bersedia untuk berbincang dengan beliau,” kata Mustafa. Kenyataan PAS ini sekali lagi mencerminkan iltizam PAS untuk terus dengan Pakatan Rakyat, khususnya dalam berdepan dalam UMNO- Barisan Nasional dalam sebarang isu. Lebih menyakinkan kali ini ialah kenyataan itu dibuat oleh Datuk Mustafa, sekutu kuat Presiden PAS Abdul Hadi Awang yang melontarkan idea bermuqabala dengan UMNO dan menimbang kemungkinan menubuhan kerajaan perpaduan.

Mustafa mengumumkan pendirian PAS itu pada sidang media khas bagi menjawab kenyataan Najib kononnya beliau percaya parti Islam itu ikhlas untuk berbincang mengenai penubuhan kerajaan perpaduan. Menurut Mustafa, sepanjang rekod PAS dalam politik, ia sentiasa menghormati perjanjian kerana ia merupakan salah satu dasar perjuangan parti tersebut. “PAS bersama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. (Jadi) PAS tidak akan mengkhianati kawan-kawan. PAS tak akan tinggal Pakatan Rakyat, tidak akan khianati rakan-rakan kita,” tegas Mustafa. Bagaimanapun, kata Mustafa, perbincangan berhubung isu-isu tertentu yang melibatkan kepentingan negara, diteruskan walaupun tidak disertai oleh PKR dan DAP.

Katanya, ini kerana setiap parti mempunyai pendirian masing-masing berhubung sesuatu isu yang timbul. Beliau memberi contoh berhubung cadangan membawa pulang bekas setiausaha agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan isu Sekolah Agama Rakyat (SAR) “PKR dan DAP bersetuju (bawa Chin Peng pulang) tetapi PAS tak setuju. Isu Sekolah Agama Rakyat, takkan nak bincang dengan DAP dan PKR, maka bincanglah dengan PAS,” kata Mustafa. Beliau juga menjelaskan penglibatan PAS dalam perbincangan kerajaan dalam Majlis Pembangunan Ekonomi Negera pada tahun 1989-1990. “Ketika itu, pada zaman (Tun) Dr Mahathir (Mohamad). Saya mewakili PAS bersama beberapa orang lagi. Kita berbincang, tidak bererti kita bersama dengan Umno,” katanya. (suara Keadilan)

0 comments:

Post a Comment