Saturday, June 6, 2009

Kain Lilit Kepala Desak Pembubaran DUN Perak


Muktamar PAS ke 55 hari ini sebulat suara mendesak supaya Dewan Undangan Negeri Perak dibubarkan secepat mungkin bagi mengembalikan hak kebebasan rakyat untuk memilih pentadbiran negeri yang sah.  Desakan yang dikatakan sudah sampai ke kemuncak itu diperkukuhkan dengan pemakaian kain lilitan kepala berwarna hitam oleh semua pemimpin dan perwakilan dengan tulisan ‘bubarkan DUN’.

Nasharuddin Mat Isa yang mengekalkan jawatan Timbalan Presiden PAS dalam pemilihan kali ini, mengetuai tindakan itu dengan menegaskan bahawa ia adalah protes kepada kerajaan Umno Barisan Nasional. Menurutnya, pelbagai cara sudah dilakukan oleh kerajaan pakatan rakyat untuk memulihkan keadaan, termasuk membawa kemelut politik Perak ini ke mahkamah.

Bagaimanapun, beliau berkata semua usaha itu menemui jalan buntu apabila Umno Barisan Nasional dilihat terus membelakangkan prinsip demokrasi dan kedaulatan undang-undang. Nasharuddin mengulangi bahawa PAS akan terus memperjuangkan hak rakyat Perak yang telah dicabuli oleh kerakusan Umno Barisan Nasional.

(TVA)

0 comments:

Post a Comment