Dewan Pemuda PAS Terengganu mendesak Menteri Besar, Dato' Ahmad Said memberikan penjelasan segera berhubung keruntuhan bumbung utama di Stadium Sultan Mizan, Gong Badak, kira-kira 15 kilometer dari sini yang berlaku pagi Selasa (2 Jun).
Timbalan Ketuanya, Ustaz Wan Sukairi Abdullah dalam kenyataan awal kepada Harakahdaily melahirkan rasa terkejutnya di atas kejadian yang amat memalukan itu. Ia malah dianggap tidak sepatutnya berlaku memandangkan stadium bernilai lebih RM200 juta itu baru sahaja siap dibina lebih setahun lalu dan dikatakan masih dalam jaminan pihak kontraktor.
Stadium yang merupakan komponen utama Kompleks Sukan Negeri Terengganu itu baru siap dibina lebih setahun lalu. Ia pertama kali digunakan untuk temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2008. Seluruh struktur bumbung yang memayungi tempat duduk utama di stadium itu dilaporkan runtuh. Kejadian itu disedari berlaku pagi Selasa, tanpa sebarang faktor semula jadi seperti ribut atau angin kencang.
0 comments:
Post a Comment