Saturday, May 29, 2010

500 sertai bantahan konsert Inul, judi


TAWAU, 28 Mei: Kira-kira 500 orang mengadakan demonstrasi aman bagi menyatakan bantahan terhadap kelulusan permit Konsert Inul Daratista dan lesen judi bolasepak oleh kerajaan sempena Piala Dunia Jun ini di Masjid Bandar Tawau selepas solat Jumaat tengah hari tadi.

Pada Jumaat lepas, satu himpunan aman seperti ini telah dianjurkan dan berjaya mendapat reaksi  segera dari seluruh badan badan bukan kerajaan (NGO)  Islam dan parti politik lain di Sabah  serta media cetak tempatan sehingga Konsert Inul  yang dijadualkan berlangsung malam esok ditangguhkan.

“Tidak cukup tangguhkan konsert itu kerana masih ada peluang ianya berlangsung. Kita mahu, batalkan dan haramkan Inul dari menjejakkan kaki di bumi Sabah ini,” tegas Muhd Nasier, Setiausaha PAS Tawau.

Himpunan bantahan tersebut telah dianjurkan oleh PAS Tawau dan turut disokong oleh Dewan Pemuda PAS Negeri Sabah yang datang berkumpul di Tawau.

Antara pimpinan yang hadir berucap ialah Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

“Kita terima sukan bola sepak, Islam tidak menghalang kita beriadah tetapi kita tidak terima judi,” kata Mahfuz.

Katanya, perjudian akan mengakibatkan keberantakan masalah sosial yang lain, kecurian, kes ragut, pecah rumah dan masalah rumahtangga akan semakin meningkat.

“Oleh itu, seluruh rakyat yang cintakan agama dan negara mesti bersama sama kita membantah terhadap kelulusan lesen judi yang telah diberi,” ujarnya.

Bantahan kemudiannya bersurai secara aman sekitar jam 1.30 petang tanpa sebarang tangkapan.

0 comments:

Post a Comment