Ihsan daripada Malaysiakini
Dewan Pemuda PAS Kawasan Kuala Krai kesal dengan tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka. Atas apa jua alasan, perkara ini masih mampu untuk diselesaikan dengan cara yang lebih berhemah tanpa ada unsur-unsur penghinaan dan pembaziran.
Kami katakan ia adalah mungkin berkaitan dengan penghinaan kerana apa yang sedang dibantah adalah pembinaan kuil Hindu dan secara asasnya kita mengetahui bahawa lembu adalah binatang suci bagi kaum yang menganuti ajaran terbabit. Keduanya, pembaziran terhadap rezeki yang Allah Taala berikan (dalam bentuk daging dan kepala lembu) kepada kita, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadhan ini amatlah tidak berpatutan. Tindakan ini hanya melambangkan kedangkalan dan kebodohan percaturan politik UMNO.
Kami juga masih ingat bagaimana insiden penggantungan kepala babi di Melaka yang turut didalangi oleh pemimpin UMNO. Politik murahan dengan mengapi-apikan isu perkauman dan keagamaan menjadi seakan-akan nyawa UMNO-Barisan Nasional untuk terus berkuasa di Malaysia ini. Apabila orang Melayu dan Cina ingin mendekati Pakatan Rakyat (dahulunya BA) maka cerita 13 Mei 1969 akan diputarkan kembali oleh mereka untuk menakut-nakutkan rakyat.
Dan, hari ini, apabila berlakunya 'plot' cerita mengenai perarakan kepala lembu ini, maka kami berpandangan ia adalah hasil kerja tangan 'budak-budak Oxford dan Cambridge'. Kata Khairy,"Orang Melayu Islam yang menganjur dan terlibat dengan demonstrasi ini sepatutnya fikir sejenak, apa perasaan mereka jika cadangan membina masjid di kawasan bukan Melayu - yang memang pun berlaku - membawa kepada golongan bukan Melayu membakar dan memijak al-Quran? ".
Dan, untuk menambah perisa lagi, Khairy menyebut, "Jika ada yang menganggap agama Islam dihina atau diperlekehkan sepertimana yang berlaku dengan isu jualan arak di negeri Selangor baru-baru ini, saya akan bangkit mempertahankan maruah agama Islam.
"Tetapi saya juga akan bersuara sekiranya agama lain dihina. Islam mengajar kita untuk mengenali dan membuat baik dengan bangsa lain, sepertimana firman Allah SWT dalam surah Al-Hujarat, ayat 13:
"Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling mengenal."
Dan surah Al-Kafirun, ayat 6: "Untuk kamu agama kamu, untuk aku agama aku". Maka budaya menerima kepelbagaian agama ini termaktub dalam kitab suci al-Quran."
Justeru, memang dalam isu ini kita dapat melihat mereka (UMNO) makan dua side sekaligus. Satunya, mereka kelihatan terus dengan tradisi 'membela' kepentingan orang Melayu dan dalam satu lagi aspek, kelihatan dan kedengarannya kata-kata Khairy yang lebih lunak mengenai isu perkauman ini.
Politik desperado UMNO ini tidak akan ke mana-mana pun. Tunggulah PRU ke 13 nanti, dan Najib harus bersedia untuk dilantik sebagai duta Malaysia ke Mongolia setelah Pak Lah dilantiknya sebagai Pengarah IKIM semalam.
Nazman Che Iberahim
Ketua Penerangan DPPK K. Krai
0 comments:
Post a Comment