Pagi tadi 22 September 09 berlangsungnya Majlis Mesra Eidul-fitri Mahasiswa Kelantan 2009 bertempat di Dewan Besar, Kompleks Balai Islam Lundang, Kota Bharu yang di anjurkan oleh Markaz Siswazah Kelantan (MSK) dengan kerjasama Urusetia Pembangunan Insan, Belia, Sukan & NGO Kerajaan Negeri Kelantan.
Kehadiran mahasiswa dan siswazah dianggarkan melebihi 2000 orang yang hadir hari ini. Dengan kehadiran mahasiswa tersebut sedikit sebanyak dapat menyatukan mahasiswa Kelantan yang berada di perantauan di satu majlis bagi menjalinkan hubungan persaudaran serta merapatkan ukhwah anak-anak negeri Kelantan di perantauan bersama kepimpinan kerajaan negeri Kelantan.
Pada acara tersebut turut diadakan Wacana Siswa yang bertajuk ‘Mahasiswa Memacu Perubahan’ yang mana ahli panelnya terdiri daripada Prof. Madya Dr Mat Rofa Ismail, Pensyarah Universiti Putra Malaysia, Kamarudzaman Mohammad, Aktivis Masyarakat dan Puan Ilvira Mohd Dasuki, Pengarah Nisa’ Kelantan manakala Ust. Abdul Fatah Jaafar sebagai moderator program yang juga sebagai Naib Presiden II Markaz Siswazah Kelantan.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar Kelantan, YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Belia, Sukan dan NGO Negeri Kelantan, YB Abdul Fattah Mahmood. YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat juga menyampaikan amanat yang sangat berharga kepada mahasiswa agar mahasiswa tidak lupa akan perjuangan menegakkan Islam yang selari dengan moto kerajaan Negeri Kelantan iaitu Membangun Bersama Islam. Ucapan selama 25 minit itu cukup padat dengan isi kandungan yang boleh dijadikan sebagai pegangan dalam melaksanakan tugas sebagai mahasiswa selepas tamat belajar.
Selepas tamat amanat dari YAB Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, sesi fotografi antara mahasiswa dengan tok guru diadakan. Ramai mahasiswa tidak melepaskan peluang untuk bergambar dengan Menteri Besar Kelantan itu dan mengganggap bahawa satu-satunya kerajaan yang mentadbir negeri secara Islam adalah negeri Kelantan dan insyaALLAH satu hari nanti Islam akan berada di atas setelah kebangkitan mahasiswa dalam menentukan pemimpin yang benar-benar layak memimpin negara.
sumber: http://kijang59.blogspot.com
0 comments:
Post a Comment