Sunday, August 16, 2009

Pas Tidak Akan Serang Peribadi Pemimpin


Image Hosted by ImageShack.usKOTA BHARU, – Ketika dia diserang kiri dan kanan oleh media dan pemimpin parti lawannya, Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mengeluarkan kenyataan, PAS tidak akan menggunakan kaedah menyerang peribadi pemimpin parti lawan semasa kempen pilihan raya kecil (PRK) Dun Permatang Pasir, Pulau Pinang. Jaminan ini dikeluarkan beliau ketika bercakap kepada media selepas menghadiri satu majlis rasminya dekat sini. Sebaliknya kata beliau, PAS tidak akan mengetepikan kaedah kempennya iaitu akan terus menyerang dasar parti lawan. “Sampai bila pun PAS akan terus menyerang dasar parti lawan yang bertentangan dengan dasar dilaksanakan parti PAS,” jelasnya sambil menegaskan pendekatan itu bukan sahaja dibolehkan malah ia diwajibkan di dalam Islam.

PRK Dun Permatang Pasir akan diadakan pada 25 Ogos ini. Sehingga kini, tiga calon mengesahkan untuk menyertainya iaitu calon PAS, Mohd Salleh Man, calon BN, Setiausaha Umno bahagian Permatang Pauh, Rohaizat Othman dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris. Pada pilihan raya umum 2008, Salleh bertanding di kerusi Dun Sungai Dua, namun tewas kepada calon BN, Datuk Jasmin Mohamed, dengan majoriti 535 undi.

Manakala Kamarul pernah bertanding dalam PRK Bukit Gantang dan Penanti dan hilang wang pertaruhan di kedua-dua pertandingan itu. Beliau nampaknya tidak pernah serik dan sekali lagi tampil membuat pengumuman akan turut bertanding pada PRK Dun Permatang Pasir. Sejak kebelakangan ini, peribadi dan pandangan Nik Aziz menjadi sasaran media dan pemimpin BN. Ada sahaja isu yang dihalakan kepada beliau. Terkini adalah sikap baik beliau terhadap DAP sehingga beliau dituduh menghalalkan kemungkaran yang dibuat oleh DAP. Ekoran itu beliau didakwa bukan menjaga kepentingan Islam tetapi kepentingan politik dan DAP. Datuk Seri Anwar juga turut menjadi sasaran media. Beliau diserang secara peribadi dan terkini adalah beliau dituduh sebagai pengkhianat bangsa.

Dalam pada itu media melaporkan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, mencadangkan supaya pilihan raya tersebut ditangguhkan berikutan penularan wabak influenza (H1N1). Bagaimanapun pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata dalam perlembagaan pilihan raya tidak boleh ditangguhkan kecuali kerajaan mengisytiharkan darurat.

Sementara itu Nik Aziz, yang juga Menteri Besar Kelantan, memberitahu kerajaan negeri sudah mengubah istilah ‘bulan puasa’ kepada ‘bulan Ramadan’ bagi memberi kefahaman lebih luas kepada umat Islam tentang pengajaran dan amalan yang dituntut agama sepanjang bulan mulia itu. - TMI

0 comments:

Post a Comment