Tuesday, July 14, 2009

Laporan Separuh Hari N41 Manek Urai


MANEK KRAI, 14 Julai - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Malaysia semalam mensasarkan lebih 85% daripada 12,293 pengundi akan keluar membuang undi dalam Pilihanraya Kecil Dun Manek Urai hari ini memandangkan 90 peratus daripada pengundi adalah petani, penoreh getah dan nelayan yang tidak terikat dengan jadual bekerja. Lebih membantu apabila seluruh Kelantan diumumkan cuti umum pada hari pembuangan undi hari ini. Dengan jumlah penduduk yang kecil, SPR membayangkan keputusan pilihanraya kecil ini bakal diumumkan seawal jam 8 malam nanti.


Memetik sumber laporan Bernama, kebanyakan pengundi adalah penduduk tempatan dengan hanya 1300 sahaja pengundi luar, rata-ratanye menetap di sekitar Kelantan dan juga Pahang. Memuji suasana kempen di Manek Urai yang aman dan bebas dari kejadian provokasi, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berharap tiada sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku sehinggalah majlis pengumuman calon yang menang malam nanti.


Turut meraikan pengundi kurang upaya, SPR menyediakan 72 kerusi roda dengan agihan 8 kerusi roda untuk setiap sembilan pusat undi. Antara kemudahan lain yang disediakan termasuk 25 barung SPR yang dibuka dalam jarak 50 meter di luar pusat mengundi untuk memudahkan pengundi menyemak maklumat mereka serta Zon Umum Menurunkan Pengundi bagi kenderaan yang membawa pengundi ke tempat mengundi.


Bagaimanapun, kenderaan-kenderaan tersebut dilarang untuk melekatkan atau menggantung sebarang bendera atau lambang parti atau apa-apa simbol yang menjurus kepada bentuk kempen kecuali pelekat kenderaan khas yang telah diedarkan kepada parti bertanding. Tambah beliau, orang ramai boleh menghubungi Bilik Gerakan SPR di talian 09-7471966 atau 09-7471998 sekiranya terdapat sebarang aduan berkaitan perjalanan pilihan raya kecil tersebut dan juga yang berkaitan dengan aktiviti kempen di Manek Urai. Beliau turut meminta kerjasama semua parti politik dan calon yang bertanding supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan serta arahan polis bagi menjamin kelancaran pilihan raya kecil itu. Selain parti politik yang bertanding serta penyokong, Abdul Aziz juga menyeru pihak media mematuhi arahan larangan berkempen di hari mengundi.

0 comments:

Post a Comment