Tuesday, June 9, 2009

Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah


KUALA KRAI: Faktor utama untuk menang dalam pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan pada 14 Julai nanti bukan bergantung kepada pengaruh parti tetapi lebih kepada calon bersifat mesra rakyat dan mempunyai reputasi berkhidmat kepada rakyat.Ukuran itu dibuat berdasarkan daripada perbualan penduduk di kedai-kedai kopi yang hangat memperkatakan mengenai calon pilihan mereka pada pilihan raya kecil itu.

Tinjauan mendapati reputasi calon yang bakal dipilih sama ada dari Pas atau Umno menjadi topik perbualan penduduk dengan mereka melahirkan harapan akan mendapat wakil rakyat baru yang mudah mendekati rakyat terutama apabila memerlukan bantuan. "Calon "ikan buruk" kami tak mahu dah, seperti bila rakyat ajak minum di kedai kopi, calon menolak atas alasan takut ikan jadi buruk (busuk) di dalam kereta, jadi terpaksa pulang segera," kata Mohd Bakri Abdullah, 45, di sini, hari ini.
Penduduk mahukan wakil rakyat yang sanggup menolong mereka yang memerlukan bantuan, katanya, dan menurutnya bantuan itu bukan merujuk kepada bantuan kewangan tetapi lebih kepada usaha mendapatkan bantuan kepada mereka yang memerlukan.


"Calon tidak mesra rakyat, kami tidak mahu. Kami nak calon bila rakyat nak buat kenduri dan perlukan peruntukan dia sedia membantu. Bila ada masalah bantuan, dia akan usahakan cari pihak yang dapat menolong," kata Mohd Bakri. Antara calon Umno yang disebut-sebut masyarakat setempat kerana mempunyai ketokohan itu ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat kerana kesediaan beliau untuk berkhidmat kepada rakyat sebelum ini.

0 comments:

Post a Comment