Wednesday, June 10, 2009

BN Sukar Menilai Pendirian Politik Pengundi Manek Urai


Seramai 1,145 pengundi di DUN Manek Urai gagal dikesan oleh Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan BN sukar menilai pendirian politik mereka, kata pemimpin Umno Kuala Krai. "Kemas yang menjalankan bancian terhadap pengundi Manek Urai tidak dapat mengesan pengundi berkenaan," kata ahli jawatankuasa bahagian Anua Yusoff.

"Nama mereka ada dalam senarai daftar pemilih, tetapi Kemas tidak tahu di mana mereka tinggal." Akibatnya, tambahnya, agensi kerajaan itu tidak dapat mengukur kecenderungan pengundian mereka sama ada memangkah BN atau PAS. Anua bagaimanapun percaya kebanyakan mereka ini penyokong setia PAS. Selain itu, tambahnya, bancian Kemas juga mendapati terdapat kira-kira 900 pengundi atas pagar di dalam kawasan DUN itu yang akan menghadapi pilihanraya kecil antara 6 hingga 14 Julai ini.

Anua berkata, sikap mereka sukar diramal kerana kerana pengundi berkenaan tidak mahu berterus-terang. "Bila ditanya hendak pangkah (undi) kali ini, mereka kata 'tunggu hari mengundilah'," katanya lagi.

Ketika ditanya peluang BN dalam pilihanraya kecil ini, Anua berkata, peluang ada jika jentera Umno bersatu dan bekerja dalam satu pasukan. Tambahnya, dalam pilihanraya-pilihanraya terdahulu, pengundi kebanyakannya memilih calon PAS Ismail Yaacob kerana mereka menyenangi sikap penyandang itu. "ADUN PAS itu disenangi oleh semua orang di kawasan ini, tidak kira orang PAS atau Umno. "Kalau orang minta atap zink, dia kata pergi ambil di kedai, tak usah bayar kerana dia yang bayar," katanya lagi.

0 comments:

Post a Comment