Wednesday, June 3, 2009

BN Barang Naik, Kenaikan Caj Teksi


Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) mencadangkan kenaikan tambang pengangkutan awam termasuk 30 peratus kenaikan caj perjalanan teksi dalam semakan kadar tambang yang kemukakannya kepada kerajaan bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam di negara ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata LPKP mencadangkan caj perjalanan teksi bagi setiap 150 meter dinaikkan daripada 10 sen kepada 13 sen, sementara kadar tambang permulaannya pula ditambah daripada RM2 kepada RM3.
Sementara itu, kadar bayaran bagi meter teksi juga dinaikkan daripada 10 sen untuk 45 saat kepada 13 sen untuk 27 saat, katanya kepada pemberita selepas mengadakan sesi dialog dengan pemandu dan pengusaha teksi dan kereta sewa Lembah Klang di sebuah hotel di ibunegara hari ini, lapor Bernama.
Beliau berkata bagaimana keputusan muktamad akan diputuskan Kabinet tidak lama lagi. Hadir sama Pengerusi LPKP Datuk Markiman Kobiran. Menyentuh mengenai kadar tambang bas, Mohamed Nazri berkata kadar tambang baru itu akan membolehkan operator pengangkutan awam mendapat keuntungan optimum untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan tanpa membebankan penumpang. LPKP dalam laporan itu juga turut mencadangkan supaya semakan tambang dilakukan setiap tiga tahun sekali bagi mengatasi kelemahan semakan tambang sebelum ini yang tidak berkala (berjadual).
Kali terakhir kadar tambang teksi dan bas disemak ialah pada 2005. (MALAYSIAKINI)

0 comments:

Post a Comment